
MANILA: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak terus memperkukuh rangkaian media serantau menerusi lawatan kunjungan hormat ke MBC Media Group di sini.
Delegasi yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Ali Suhaili itu telah disambut oleh Penolong Naib Presiden Jabatan Media Bersepadu, Vince Jaen, selain turut mengadakan pertemuan bersama Presiden MBC Media Group, Ruperto Nicdao Jr.
Lawatan tersebut bertujuan mendapatkan pendedahan lebih mendalam mengenai pendekatan organisasi media mapan dalam membina kedudukan, pengaruh serta kepercayaan khalayak dalam landskap komunikasi yang semakin kompetitif dan dipacu digital.
Melalui sesi perkongsian ilmu, delegasi AZAM Sarawak didedahkan dengan strategi MBC Media Group dalam pengurusan bilik berita, pembangunan kandungan, transformasi digital serta amalan penglibatan audiens.
Ali berkata, keupayaan membina pengaruh dan kepercayaan merupakan elemen penting dalam persekitaran komunikasi masa kini.
Katanya, media kini tidak lagi sekadar menyampaikan maklumat, sebaliknya berperanan membina pengaruh yang mampu memberi impak bermakna kepada masyarakat.
Pada masa sama, AZAM Sarawak turut memperkenalkan beberapa inisiatif komunikasi termasuk podcast Kelaka Belia, penerbitan digital PROGRESS serta penggunaan watak kecerdasan buatan KAI dan ELI sebagai saluran inovatif dalam penyampaian maklumat secara lebih interaktif dan relevan.
Sepanjang sesi tersebut, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai trend media semasa, tingkah laku audiens digital, pembangunan kandungan, penglibatan belia serta potensi kerjasama pada masa hadapan.
Pengurus Komunikasi Strategik, Media dan Hubungan Belia, Mohd Hassnal Hakim Junaidi menyifatkan lawatan itu sebagai sebahagian daripada usaha berterusan AZAM untuk memperluas jaringan komunikasi di peringkat ASEAN.
Beliau berkata, selepas menjalin kerjasama di Singapura dan Indonesia, AZAM melihat kepentingan memperkukuh hubungan dengan negara jiran seperti Filipina dan Thailand bagi memperluas perspektif serta rangkaian komunikasi serantau.
Tambahnya, pendedahan yang diperoleh turut membantu meningkatkan pembangunan produk komunikasi AZAM serta platform belia seperti AYS Toastmasters Club dalam melahirkan individu yang yakin dan berdaya saing.
Lawatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan AZAM Sarawak dalam memperkukuh rangkaian strategik serantau sejajar peranannya sebagai organisasi komunikasi dinamik di bawah Gerakan Kemajuan.
Lawatan itu turut bertepatan dengan jemputan rasmi kepada AZAM Sarawak untuk menghadiri Persidangan Toastmasters International District 75 di Pampanga.