
BINTANGOR: Kemudahan jalan kampung di beberapa kawasan sekitar Sungai Bakong, Sungai Mador dan Sungai Tulai terus dipertingkat melalui pelaksanaan Projek Mesra Rakyat (PMR) 2025 yang telah siap dilaksanakan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata ia disusuli pelaksanaan satu projek PMR di Jalan Tak Hing, Sungai Bakong.
“Pelaksanaan projek tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kemudahan infrastruktur asas di kawasan luar bandar terus dipertingkatkan.
“Pelaksanaan projek menaik taraf jalan konkrit seperti ini amat penting bagi meningkatkan keselesaan serta keselamatan penduduk setempat, di samping memperkukuh jaringan perhubungan di kawasan luar bandar,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.

Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei berkata, projek membaik pulih dan pembinaan jalan konkrit di Jalan Tak Hing memasuki fasa pelaksanaan selepas lawatan serah tapak projek dilaksanakan bersama pegawai Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) melalui wakil beliau dari Pusat Khidmat Parlimen Sarikei, Wong Soon Mee pada semalam.
Pada masa sama, turut dilaksanakan pengesahan siap kerja PMR 2025 melibatkan beberapa lokasi lain iaitu Jalan Tiong Hing di Sungai Bakong; Jalan Kim Hock di kawasan Jalan Heo Ping–Temudak; Jalan Ting Wui Hee di Sungai Mador; Jalan Su Hock Gung di bahagian Jalan Sungai Tulai; dan Jalan Wong Soon Soon di Sungai Tulai.
“Projek ini memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat khususnya dalam meningkatkan kelancaran pergerakan harian dan tahap keselamatan pengguna jalan di kawasan terlibat.
“Usaha menaik taraf kemudahan asas luar bandar akan terus menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya.
Oleh Earl Anek