AWANG KUSHAIRY JUNAIDI
LAWAS: “Jika ada Bazar Ramadan seperti kebiasaan, ramai pelanggan yang datang membeli, termasuk mereka yang bukan Islam, ditambah dengan suasana yang meriah dan sibuk.
“Disebabkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua diwajibkan berniaga secara atas talian dan itu tidak menjadi halangan kepada kami untuk meneruskan perniagaan,” kata peniaga air segar dan lazat Fivejumps, Fendi Mohamad, semasa ditemui di Banting, Lawas, petang semalam.
Menurut Fendi, beza berniaga atas talian ialah mereka perlu lebih peka dan cepat bertindak atas tempahan yang dibuat pelanggan agar tidak terlepas pandang.
Katanya, inilah Ramadan pertama yang menggunakan kaedah e-Bazar oleh semua peniaga bazar Ramadan disebabkan PKP yang sedang berkuatkuasa sekarang.
Fendi menambah, selain tempahan lebih dipelopori pelanggan yang beragama Islam, terdapat ramai juga pelanggan yang bukan Islam membuat tempahan dan segalanya berjalan dengan lancar.
Berniaga makanan dan minuman secara atas talian atau lebih dikenali sebagai e-Bazar, diwajibkan berikutan PKP yang masih berkuatkuasa sekarang.
Peniaga perlu membuat penghantaran juadah berbuka puasa yang ditempah, bagi mengelak pelanggan daripada berkumpul saat mengambil pesanan masing-masing.
Fendi menjual kira-kira 20 jenis air perisa balang, termasuk minuman goncang seperti coklat, latte, vanilla, green tea dan sebagainya, selain sostel dan takoyaki.
Mereka menerima tempahan bermula dari jam 11.00 pagi dan membuat penghantaran sehingga jam 6.00 petang, untuk sepanjang Ramadan ini.