
PETRA JAYA: Kesatuan Eropah (EU) melihat Sarawak sebagai rakan penting dalam memperkukuh kerjasama strategik, khususnya dalam bidang ekonomi, tenaga hijau dan pembangunan mampan.
Duta Besar Kesatuan Eropah ke Malaysia, Rafael Daerr berkata, dalam konteks Malaysia, Sarawak memainkan peranan besar kerana pendekatan pembangunannya yang berwawasan dan selari dengan keutamaan EU.
“Bagi kami di peringkat global, Malaysia merupakan rakan kongsi utama dalam usaha memacu kemakmuran bersama serta memperkukuh keamanan dan kestabilan serantau bagi kedua-dua pihak.
“Di Malaysia pula, Sarawak memainkan peranan penting melalui pelbagai pendekatan berwawasan dalam banyak bidang yang amat selari dengan keutamaan kami.
“Ini termasuk peralihan hijau, peningkatan pengeluaran tenaga hijau serta kerjasama strategik yang akhirnya bukan sahaja mengukuhkan kedua-dua pihak, malah meningkatkan daya tahan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini hari ini.
Rafael menambah, dalam landskap geopolitik dan geoekonomi global yang semakin mencabar, kerjasama antara EU dan Malaysia, termasuk Sarawak, menjadi semakin penting bagi meningkatkan daya tahan serta kebebasan ekonomi kedua-dua pihak.
Dalam pada itu, beliau berkata, kunjungan rasmi pertamanya ke Sarawak bertujuan mengukuhkan hubungan sedia ada serta menyokong kerjasama antara negara anggota EU dan Sarawak.
Katanya, antara fokus kerjasama termasuk tenaga hijau, pelaburan, pendidikan serta pembangunan mampan yang diyakini mampu memberi manfaat bersama dan memperkukuh daya tahan kedua-dua pihak.

Turut hadir ialah Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Negeri Malaysia, Dato Fenny Nuli.
Selepas sesi kunjungan hormat itu, Premier Sarawak turut menerima kunjungan hormat daripada Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammad Taufiq Johari.
Pertemuan tersebut antara lain membincangkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak, selain persiapan menghadapi Sukan SEA 2027 yang menyaksikan Sarawak sebagai salah satu daripada empat kluster utama penganjuran.
Turut hadir Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu dan Datuk Dr. Ripin Lamat, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dato’ Rahimi Ismail serta tetamu kehormat yang lain. — Ukas