
SIMANGGANG: Jawatankuasa Amal dan Kesihatan Komuniti Sri Aman (JAKKSA) tampil menyantuni keluarga seorang kanak-kanak, Christ Hendrik Daniel yang berusia sembilan tahun, di Kampung Sabu dekat sini dengan menyampaikan sumbangan bantuan perubatan.
Kunjungan tersebut diketuai Pengerusi JAKKSA, Gerald Empaling sebagai usaha meringankan beban keluarga berkenaan yang kini berdepan cabaran besar bagi menampung kos rawatan Christ.
Kanak-kanak itu dilaporkan sedang berjuang melawan komplikasi kesihatan serius selepas didiagnosis menghidap kebocoran cecair serebrospinal kronik pada telinga kiri yang melibatkan komplikasi tulang belakang.
Menurut keluarga, Christ telah menjalani beberapa siri pembedahan di hospital tempatan sejak 2018 hingga 2024 bagi merawat penyakit yang dihidapinya.
Bagaimanapun, keadaan kesihatannya memerlukan rawatan kepakaran khusus menyebabkan beliau dirujuk dari Hospital Umum Sarawak ke Pusat Pakar Raffles di Singapura untuk rawatan lanjut.
Semasa kunjungan JAKKSA dilakukan, Christ difahamkan telahpun berangkat ke Singapura bagi menjalani prosedur susulan yang dijadualkan.
Dalam pertemuan itu, Gerald dimaklumkan oleh datuk Christ, Gerunsin Elie bahawa cucunya seorang kanak-kanak cekal dan mempunyai rasa tanggungjawab tinggi terhadap keluarga walaupun diuji dengan kesakitan sejak kecil.
Katanya, semangat juang yang ditunjukkan Christ amat menyentuh hati semua pihak yang hadir semasa sesi ziarah berkenaan.

“Kami amat tersentuh mendengar peribadi adik Christ. Walaupun masih muda dan menghidap penyakit kronik, semangatnya sangat kuat,” katanya.
Menurut keluarga, kos rawatan di Singapura dianggarkan mencecah RM48,000 dan jumlah itu amat sukar ditanggung tanpa bantuan orang ramai. Sehubungan itu, datuk Christ merayu ihsan masyarakat agar tampil membantu demi memastikan cucunya mendapat rawatan yang sempurna.
JAKKSA Sri Aman turut menggesa masyarakat setempat, badan korporat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya bersama-sama menghulurkan sumbangan.
Katanya, bantuan yang diberikan bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan keluarga, malah memberi sinar harapan baharu buat Christ untuk kembali sihat.
Orang ramai yang berhasrat membantu keluarga berkenaan boleh menghubungi datuk Christ, Gerunsin Elie di talian 011-1262 7330.
Oleh Adi Safarman