SUKAN merupakan platform terbaik untuk masyarakat saling mengenali antara satu sama lain serta memperkukuh perpaduan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Majang Renggi berkata, Sukan mampu membina sahsiah, menggalakkan semangat berpasukan, jati diri di samping meningkatkan tenaga atau stamina untuk kesihatan kepada tubuh kita.
“Saya berharap bahawa melalui kegiatan sukan seperti ini warga kampung akan lebih rapat dan dapat kenal mengenal dengan lebih dekat lagi diantara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Merasmikan Penutupan Kejohanan Babminton Piala YB Majang Renggi bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Penan Muslim, Batu 10, Jalan Bintulu-Miri anjuran Kelab Futsal Top Eight Bintulu dengan kerjasama JKKK kampung berkenaan.
Menurutnya, Persahabatan dan persefahaman dapat diterjemah seterusnya mewujudkan perpaduan dan rasa muhibbah di kalangan warga kampung dan masyarakat lain.
“Dengan bilangan peserta yang ramai dalam kejohanan ini telah menunjukkan sukan badminton mendapatkan sokongan baik daripada kalangan masyarakat di sini dan ianya tidak terhad kepada kepada usia, kedudukan dan kaum tertentu malah ia melibatkan pelbagai kaum khususnya penduduk kampung dan rumah panjang yang berhampiran,” ujarnya.
Sehubungan itu katanya, walaupun terpaksa akur kepada peraturan atau SOP norma baharu yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengekang penularan pandemic Covid19, namun penganjuran pertandingan seumpama itu berjaya diadakan.
Turut hadir Residen Bahagian Bintulu Harun Bin Hatta dan Penghulu Man Imbak.
Oleh ELLIE EDWARD