MIRI: Seorang kakitangan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) cedera akibat letupan gas di pejabat jabatan itu di Pusat Komersial 101, Jalan Miri-Pujut di sini,semalam.
Mangsa, lelaki berumur 50 tahun dikejarkan ke Hospital Miri ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.
Insiden berlaku sekitar 7.45 pagi itu turut menyebabkan bahagian siling, dinding dan cermin pejabat di tingkat bawah mengalami kerosakan.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kecemasan itu pada 8.02 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri Sentral yang diketuai TPgB Hamdani Madon digerakkan ke lokasi.
“Pasukan bomba yang tiba dilokasi mendapati berlaku letupan gas.
“Setelah penilaian ‘size-up’ tempat kejadian, pihak bomba mendapati masih terdapat kehadiran bau gas bocor.
“Kejadian menyebabkan seorang mangsa mengalami cedera dan dihantar ke hospital oleh rakan sekerjanya,” katanya dalam satu kenyataan.
Poh Kiong berkata, tiada kerja pemadaman dilakukan dan anggota melakukan kerja ‘isolate panel board’ dan sistem ‘CO2’ pada bangunan.
“Namun, pasukan bomba diarahkan bersedia di lokasi untuk sebarang kemungkinan berlaku kebakaran sehingga Unit Forensik Bomba Miri tiba di lokasi kejadian untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata, setelah memastikan keadaan selamat anggota bertolak balik ke balai dan operasi tamat sepenuhnya pada 9.32 pagi.
Punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan anggota forensik bomba.
Turut hadir, sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Miri dan kakitangan Sarawak Gas.
Oleh LIONG CHAI LING