
KABONG: Projek Baik Pulih Koridor Tebingan Seblak di Kampung Sungai Benang yang sebelum ini hanya melibatkan kawasan kritikal sepanjang 400 meter kini dicadangkan diperluaskan sehingga satu kilometer susulan hasil kajian lapangan dan tinjauan teknikal terbaharu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, perluasan skop projek itu penting bagi menangani isu hakisan tebing yang semakin membimbangkan serta menjejaskan keselamatan penduduk setempat.
Menurut beliau, projek berkenaan amat dinantikan penduduk Kampung Sungai Benang memandangkan masalah hakisan telah berlarutan sejak sekian lama dan memerlukan penyelesaian menyeluruh.
Chee Kadir berkata demikian ketika menghadiri Sesi Libat Urus Status Projek Baik Pulih Koridor Tebingan Seblak Kampung Sungai Benang, di Kabong, semalam.
Katanya, sesi libat urus yang diadakan bertujuan mendapatkan gambaran sebenar mengenai status semasa projek serta tindakan susulan yang bakal dilaksanakan oleh agensi berkaitan.
Dalam sesi tersebut, Chee Kadir turut merakamkan penghargaan kepada pihak agensi pelaksana serta konsultan projek yang hadir memberi penerangan berhubung perkembangan terkini projek berkenaan.


Menurut wakil Ibu Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak, Sheela Charlene Nadison, cadangan asal projek hanya melibatkan pembaikan di kawasan hakisan kritikal sepanjang 400 meter.
Namun selepas kajian lanjut dilakukan, kawasan terjejas didapati lebih luas dan memerlukan kerja baik pulih sekurang-kurangnya sepanjang satu kilometer dengan anggaran kos keseluruhan mencecah RM59 juta.
Walau bagaimanapun, jumlah peruntukan yang telah diluluskan setakat ini hanyalah RM21 juta, sekali gus hanya mampu menampung pelaksanaan kerja pembaikan sepanjang 425 meter di kawasan hakisan utama.
Sehubungan itu, ahli mesyuarat bersetuju supaya projek tersebut diteruskan secara berfasa mengikut jumlah peruntukan semasa yang telah diluluskan kerajaan.
Sheela turut memaklumkan bahawa pelaksanaan projek dijangka dapat dimulakan seawal September 2026 selepas proses tender serta penyediaan dokumen teknikal selesai.
Sebagai langkah sementara, struktur retreat bund sedia ada sepanjang 70 hingga 80 meter yang siap dibina pada 13 November 2025 akan dinaik taraf menggunakan tanah bukit bagi menambah kekuatan benteng tersebut.
Selain itu, cadangan tindakan intervensi yang dikemukakan wakil pekebun, Ismawi Mahrip, turut dipersetujui untuk dilaksanakan segera demi menjaga keselamatan kawasan terlibat.
Oleh Adi Safarman