
BINTANGOR: Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Saberkas Meradong menghimpunkan 16 pasukan dalam usaha memperkasa pembangunan belia melalui aktiviti sukan sihat di peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong yang juga Pengerusi Saberkas Cawangan Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, berkata penganjuran kejohanan tersebut bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat baharu dalam sukan bola sepak, malah menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan belia pelbagai kawasan.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada belia menonjolkan bakat dalam bidang sukan, malah membantu membentuk disiplin diri, semangat berpasukan serta gaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda.
“Penyertaan pasukan dari Sarikei, Daro, Sibu, Pakan, Julau, Kanowit dan Bintangor jelas mencerminkan minat tinggi golongan belia terhadap aktiviti sukan yang sihat dan berfaedah,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian kejohanan bola sepak 9 sebelah, bertempat di Kompleks Sukan Bintangor, hari ini.
Koung Hiing turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas usaha gigih menjayakan program tersebut dengan kerjasama Kelab Bola Sepak Bintangor.
“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan skala yang lebih besar supaya lebih ramai belia dapat menyertai aktiviti sukan dan seterusnya menjauhi gejala tidak sihat,” katanya.
Turut hadir Naib Pengerusi I Saberkas Cawangan Meradong, Ley Chee Hua; Naib Pengerusi II Saberkas Cawangan Meradong, Dominic Amor dan Setiausaha program Saberkas Cawangan Meradong, Abang Husen.
Oleh Earl Anek