
MIRI: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) terus diiktiraf sebagai tonggak utama perpaduan komuniti serta penghubung penting antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi di Bahagian Miri.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, KMKK bukan sahaja berperanan sebagai pemimpin masyarakat, malah menjadi ejen penyampai dasar kerajaan, penyelesai konflik serta pemudah cara pembangunan komuniti.
Menurutnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, keberkesanan pentadbiran di Bahagian Miri banyak bergantung kepada kecekapan dan komitmen KMKK dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
“KMKK perlu sentiasa berpegang kepada prinsip integriti, keadilan dan ketelusan dalam setiap tindakan serta keputusan demi memastikan kebajikan seluruh komuniti terus terpelihara tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam Bersama Komuniti Bahagian Miri sempena Program Sarawakku Sayang 2026 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Dalam pada itu, Peguang turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas usaha berterusan memperkasa peranan KMKK termasuk melalui kenaikan elaun serta penyediaan latihan kepimpinan.
Katanya, langkah tersebut memastikan KMKK kekal relevan dan mampu berdepan cabaran semasa termasuk perubahan sosial serta perkembangan teknologi.
“Dalam era digital ini, KMKK juga digalakkan memanfaatkan teknologi bagi mempercepat penyampaian maklumat kepada masyarakat,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kekuatan Sarawak terletak pada perpaduan dalam kepelbagaian kaum yang menjadi asas kestabilan dan kemajuan negeri.
Sehubungan itu, KMKK memainkan peranan penting dalam memupuk keharmonian serta memperkukuh hubungan antara masyarakat pelbagai kaum.
Pada masa sama, beliau mengakui Bahagian Miri berdepan pelbagai cabaran dari segi geografi, infrastruktur dan akses komunikasi, namun yakin usaha berterusan kerajaan negeri mampu mengatasi isu berkenaan.
“Pelbagai projek pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas sedang giat dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat di bandar dan luar bandar,” katanya.
Tambah beliau, penganjuran Program Sarawakku Sayang di Miri yang diserikan dengan pelbagai pengisian termasuk program kebudayaan dan hiburan rakyat turut menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan komuniti.
Oleh Liong Chai Ling