
BEKENU: Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel telah mengadakan tiga lawatan kerja di Daerah Subis hari ini.
Lawatan itu diadakan ke Saeh Niah, Kampung Kelulit di Kuala Sibuti dan pekan Batu Niah untuk meninjau beberapa projek pembangunan serta penaiktarafan infrastruktur jalan raya.
Utusan Sarawak difahamkan antara projek terlibat ialah pembinaan baharu jalan menghubungkan Rumah Patrick Libau, Rumah Agnes Abau, Sungai Tangap dan Rumah Bulin di Sungai Saeh, Niah sepanjang 16.64 kilometer dengan kos sebanyak RM166.38 juta.
Selain itu, projek pembinaan jalan akses ke Pekan Batu Niah yang menghubungkan ke persimpangan Lebuhraya Pan Borneo turut dilaksanakan melibatkan jarak 1.40 kilometer dengan kos RM16.22 juta.

Turut dilaksanakan ialah projek pembesaran jalan Kampung Kelulit ke Kuala Sibuti sepanjang 6.3 kilometer dengan peruntukan sebanyak RM94.735 juta bagi meningkatkan kapasiti serta keselamatan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.
Dalam masa sama, satu cadangan pembangunan di beberapa lokasi di Kuala Sibuti turut dirancang dengan anggaran kos RM18 juta.
Kesemua projek ini dijangka memberi impak positif kepada penduduk setempat khususnya dari segi kemudahan perhubungan, merancakkan aktiviti ekonomi serta meningkatkan akses ke kawasan luar bandar.
Usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh jaringan infrastruktur ini selaras dengan komitmen untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat serta merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar di Sarawak.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Subis Norlila Ulis, Pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri Ade Chai dan Pegawai Khas DUN Bekenu William Changgan, Pemanca Dr Ali Mudin dan ketua-ketua kaum setempat.
Oleh Adum Liu