
JOHOR BAHRU: Kerajaan sedang meneliti pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan Enam, sama seperti yang diperoleh pelajar Program Matrikulasi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, perkara itu selari dengan langkah pengambilalihan sistem pendidikan prauniversiti melibatkan pelajar Tingkatan Enam dan Program Matrikulasi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), yang sebelum ini berada di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Elaun bagi pelajar Tingkatan Enam dan Program Matrikulasi, saya setuju untuk diselaraskan. Kita sedang meneliti perkara ini kerana keputusan dasar telah dibuat, cuma kaedah pelaksanaannya masih dalam perbincangan,” kata beliau ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Bersama Warga Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Pusat Tingkatan Enam di IPG Kampus Temenggong Ibrahim, di Johor Bahru, hari ini.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan seorang pelajar Tingkatan Enam mengenai sebab mereka tidak menerima elaun seperti pelajar Program Matrikulasi, sedangkan kedua-duanya berada pada tahap pendidikan prauniversiti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Ketika ini, pelajar Program Matrikulasi menerima Bantuan Sara Hidup Pelajar Matrikulasi (BSHP) sebanyak RM250 sebulan.
Anwar berkata, pelajar Tingkatan Enam wajar diletakkan di bawah KPT kerana mereka merupakan sebahagian daripada kategori pasca persekolahan.
Sehubungan itu, beliau berkata kemudahan, termasuk pemberian biasiswa kepada pelajar prauniversiti seperti Tingkatan Enam dan Program Matrikulasi, perlu disalurkan kepada golongan berkenaan.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata KPT akan mengambil alih sepenuhnya sistem pendidikan prauniversiti melibatkan Tingkatan Enam dan Program Matrikulasi bermula tahun ini, sekali gus menjadikan kedua-dua kelompok itu secara rasmi sebagai pelajar pendidikan tinggi. — Bernama