SHEILA ZAIDI
MUARA TEBAS : Kadar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di perairan Sarawak berada di tahap yang memuaskan dan terus menunjukkan kadar pematuhan yang tinggi iaitu 100 peratus.
Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata, sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu, anggota Maritim telah melakukan sebanyak 1,714 pemeriksaan ke atas kapal dan bot di perairan Sarawak dan setakat ini tiada tangkapan dibuat oleh pihaknya.
“Maritim Sarawak telah mengatur gerak aset di sepanjang perairan negeri untuk memastikan komuniti maritim mematuhi PKP yang sedang dilaksanakan.
“Selain itu, tindakan ini juga dijadikan sebagai benteng kepada kemasukan warga asing secara haram ke Sarawak disamping mengekang risiko penularan wabak Covid-19 memasuki negeri ini melalui jalan laut,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Robert, dalam pada itu, Maritim Sarawak turut melaksanakan tanggungjawab sosial dengan menyampaikan sumbangan keperluan harian berbentuk beras, tepung, mi segera, gula, telur dan minyak masak kepada dua Kampung Angkat Maritim iaitu Kampung Muara Tebas dan Kampung Selabat.
Katanya, lebih 100 keluarga di kedua-dua kampung telah menerima manfaat tersebut bagi mengurangkan beban yang dirasai sepanjang tempoh PKP ini.
Tambahnya, inisiatif ini bukan sahaja dilaksanakan di Kuching, tetapi juga di Zon Maritim Tanjung Manis, Zon Maritim Bintulu dan juga Zon Maritim Miri.
Program seperti ini, katanya, akan diteruskan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh PKP dikuatkuasakan dalam meringankan beban keluarga yang terjejas terutamanya mereka yang menyambut Ramadan.
Semalam, Maritim Sarawak juga telah melakukan kerja-kerja sanitasi ke atas aset-aset yang terdapat di jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.
Proses tersebut dilaksanakan ke atas dua kapal dan lima bot dengan melibatkan tujuh pegawai dan anggota JBPM sebagai langkah pecegahan awal.
Kata Robert, Maritim Sarawak mengucapkan setinggi-tinggi perhargaan dan terima kasih kepada JBPM Negeri Sarawak diatas bantuan yang diberikan.