
PARIS: Pakar pastri terkenal Perancis, Pierre Hermé mendedahkan bahawa kejayaannya membina empayar perniagaan macaron antarabangsa berpunca daripada keinginan untuk mengubah pencuci mulut klasik yang pernah dianggapnya membosankan.
Memulakan kerjaya seawal usia 14 tahun di jenama terkenal seperti Fauchon dan Ladurée, beliau mendapati variasi perisa tradisional seperti vanila, coklat dan kopi tidak lagi menarik minatnya.
Beliau kemudian menubuhkan jenama sendiri pada 1997 dan memperkenalkan gabungan rasa luar biasa yang menjadi identitinya, antaranya ‘Mogador’ (coklat susu dan buah markisa) serta ‘Ispahan’ (raspberi, laici dan ros), yang mendapat sambutan meluas.

Kini, rangkaian kedainya berkembang ke pelbagai negara dengan lebih 100 cawangan di seluruh dunia, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai inovator dalam dunia pastri.
Pada usia 64 tahun, Hermé masih aktif dalam industri dan memegang beberapa peranan penting, termasuk dalam organisasi pastri antarabangsa Relais Desserts. Beliau turut berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan UNESCO bagi seni pembuatan pastri Perancis sebagai warisan budaya tidak ketara.
Dalam pada itu, beliau mengkritik trend makanan yang dipacu media sosial kerana menurutnya kurang nilai dan makna dalam penciptaan.
Hermé menegaskan keutamaan beliau adalah memastikan kualiti jenamanya kekal terpelihara, sambil menekankan bahawa kejayaan jangka panjang lebih penting berbanding populariti sementara.
-AFP