
MIRI: Tindakan seorang lelaki mengugut mahu membunuh adik perempuannya sendiri menggunakan parang selepas dipercayai berang kerana tidak diberikan wang membawa padah apabila dia diberkas polis dalam serbuan di kawasan ladang di Suai, Niah dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan pada 1.44 petang daripada mangsa wanita warga asing berusia 35 tahun.
Menurutnya, suspek lelaki berusia 37 tahun yang juga abang mangsa dipercayai melakukan ugutan tersebut di rumah mangsa di Ladang Suai 2, Jalan BLD selepas berlaku pertengkaran dipercayai berpunca daripada permintaan wang.
“Suspek dipercayai bertindak agresif dan mengugut mangsa dengan parang apabila permintaannya tidak dilayan,” katanya menerusi satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Miri menyerbu pondok kebun berhampiran ladang sawit di Suai sebelum menahan suspek.
Dalam serbuan itu, katanya, polis turut merampas sebilah parang, selaras senapang patah buatan sendiri serta enam butir peluru.
Tambahnya, suspek direman empat hari hingga 27 April ini dan hasil ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Oleh Liong Chai Ling