
BETONG: Seorang lelaki berusia 26 tahun berjaya ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah di sekitar kawasan ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Betong, DSP Wan Mohamad Ali Wan Malek dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan bahawa tangkapan dilakukan sekitar 11.30 pagi.
Suspek yang ditahan di bawah pengawasan pihak polis itu kemudiannya dibawa ke IPD Betong untuk tindakan lanjut bagi membantu siasatan.
Hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Selain itu, semakan rekod jenayah lampau juga mendedahkan bahawa suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan dadah sebelum ini.
Kes kini sedang disiasat di bawah dua seksyen berbeza dalam Akta Dadah Berbahaya 1952.
Bagi kesalahan memiliki dadah, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun jika sabit kesalahan.
Manakala bagi penggunaan dadah dalam badan, suspek disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.
Pihak polis IPD Betong menegaskan bahawa mereka memandang serius terhadap isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat.
Masyarakat digesa agar terus menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan dadah kepada pihak berkuasa dengan menghubungi Balai Polis Betong di talian 083-472345.
Oleh Adi Safarman