
MUKAH: Penglibatan aktif Politeknik Mukah (PMU) menerusi Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM) dalam program tanggungjawab sosial korporat berjaya memberi impak positif terhadap kemudahan serta persekitaran pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Kampung Petanak, baru-baru ini.
Program yang bermula seawal 9.00 pagi itu menyaksikan penyertaan seramai 30 pelajar JKM bersama pensyarah, guru serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang berganding bahu melaksanakan kerja penambahbaikan infrastruktur sekolah.
Usaha tersebut melibatkan pembaikan kemudahan asas selain menceriakan kawasan persekitaran sekolah.

Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Len Annuar Rigos berkata, program tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada pihak sekolah, malah menjadi platform pembelajaran praktikal kepada pelajar
“Melalui program CSR seperti ini, pelajar dapat mengaplikasikan kemahiran teknikal mereka di lapangan sebenar di samping memupuk nilai tanggungjawab sosial dan kerja berpasukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Seorang pelajar yang terlibat turut berkongsi pengalaman sepanjang program berlangsung dengan menyifatkan penglibatan tersebut sebagai peluang untuk menyumbang kepada komuniti serta memahami keperluan sebenar masyarakat.
Sementara itu, seorang guru sekolah berkenaan menyifatkan inisiatif tersebut sebagai usaha yang amat dihargai kerana berjaya menambah baik persekitaran pembelajaran murid.

“Kami sangat berterima kasih atas bantuan yang diberikan. Persekitaran sekolah kini lebih selesa dan kondusif untuk pembelajaran murid,” ujarnya.
Secara keseluruhannya, program tersebut membuktikan sinergi antara institusi pendidikan dan komuniti mampu membawa perubahan signifikan sekali gus memperkukuh peranan PMU dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat setempat.