
MIRI: Sebuah kereta musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran di Jalan Stadium Tertutup, Jalan Sukan di sini, malam tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada 8.26 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati sebuah kenderaan sedang terbakar 100 peratus,” menurut kenyataan itu.
Operasi pemadaman segera dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air daripada jentera bomba.

“Api berjaya dikawal pada 8.43 malam sebelum dipadam sepenuhnya dan keadaan disahkan selamat,” katanya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 8.51 malam selepas pemeriksaan lanjut dilakukan bagi memastikan tiada risiko kebakaran semula.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.
Oleh Liong Chai Ling