
SYDNEY: Seorang juruterbang meninggal dunia selepas helikopter terhempas di kawasan terpencil di negeri Queensland, Australia pada pagi tadi, lapor Xinhua.
Perkhidmatan Polis Queensland (QPS) memaklumkan helikopter itu terhempas di sebuah kawasan berhampiran pekan kecil Blackall, lebih 800 kilometer barat laut Brisbane di kawasan penternakan di negeri itu, kira-kira 9.30 pagi Isnin.
Pasukan perkhidmatan kecemasan dikerahkan ke lokasi kejadian, dan juruterbang berkenaan yang bersendirian di dalam helikopter itu, seorang lelaki berusia 42 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) memaklumkan dalam satu kenyataan bahawa helikopter jenis Robinson R22 itu dilihat menurun dengan cepat sebelum berlanggar dengan permukaan tanah. ATSB telah memulakan siasatan dan berkata ia akan menghantar satu pasukan ke kawasan tersebut pada Selasa untuk menjalankan aktiviti pengumpulan bukti, termasuk memeriksa pesawat, memetakan tapak dan mendapatkan semula komponen untuk analisis lanjut.
“Penyiasat juga akan menemu bual mana-mana saksi atau kakitangan yang terlibat dalam operasi helikopter, dan mengumpul maklumat yang direkodkan, serta rekod penyelenggaraan juruterbang dan pesawat, dan maklumat cuaca,” menurut ATSB. QPS berkata polis akan membantu siasatan ATSB.
-Bernama