
MIRI: Warga bandar raya ini berpeluang mendapatkan maklumat terperinci berhubung kenaikan kadar pemberian Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 menerusi Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 yang akan berlangsung di Stadium Miri dari 24 hingga 26 April ini.
Menurut kenyataan Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak Jabatan Premier Sarawak, program anjuran kerajaan Sarawak itu menjadi platform utama bagi orang ramai memahami penambahbaikan SKAS 2026 yang diumumkan pada 16 April lalu, termasuk kadar bantuan baharu serta kaedah penyaluran secara digital melalui platform S Pay Global.
“Di bawah struktur baharu tersebut, kategori isi rumah layak menerima RM1,100, warga emas RM600 manakala individu bujang sebanyak RM375.
“Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 900,000 penerima di seluruh Sarawak dan akan disalurkan secara berperingkat dalam tiga fasa sepanjang tahun ini.
“Langkah berkenaan mencerminkan usaha proaktif kerajaan negeri dalam membantu meringankan beban rakyat, khususnya dalam mendepani peningkatan kos sara hidup susulan ketidaktentuan ekonomi global,” menurut kenyataan tersebut.
Selain itu, pelbagai perkhidmatan awam turut disediakan di Sarawak Pavilion yang berkonsepkan Pusat Sehenti, termasuk Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) serta peluang temu duga pekerjaan melalui JobSarawak, sekali gus memudahkan rakyat mengakses pelbagai inisiatif kerajaan di satu lokasi.
Sepanjang tiga hari penganjuran, program tersebut akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti komuniti seperti senamrobik, Larian Santai SKS sejauh tiga kilometer, sukaneka rakyat dan e-sukan, selain persembahan kebudayaan serta Konsert Rakyat.
Majlis kemuncak program ialah perasmian oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang dijadualkan bermula 10.30 pagi, 25 April ini.
Sehubungan dengan itu, orang ramai khususnya warga Miri dan kawasan sekitar dijemput hadir bagi memanfaatkan pelbagai kemudahan serta maklumat yang disediakan sepanjang program berlangsung.
Oleh Liong Chai Ling