
SIBU: Penganjuran Sibu International Powerboat Race (SIPR) 2026 terus mencuri tumpuan apabila sebanyak 244 bot telah berdaftar untuk menyertai perlumbaan yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 26 April ini di Tebingan Sungai Pulau Li Hua.
Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata, jumlah tersebut bukan sahaja mencerminkan sambutan luar biasa, malah berpotensi melakar rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori ‘Jumlah Bot Kuasa Terbanyak dalam Satu Acara’.
Menurut beliau, penyertaan setakat ini melibatkan sembilan kategori perlumbaan dengan kehadiran peserta dari seluruh Sarawak serta luar negara termasuk Brunei.
“Jumlah 244 bot ini telah melepasi syarat minimum 200 penyertaan yang ditetapkan, sekali gus secara tidak rasmi melayakkan acara ini mencipta rekod baharu.
“Sijil pengiktirafan MBOR dijangka disampaikan pada majlis penangguhan iaitu pada 26 April ini,” katanya pada sidang media di Pejabat Residen Bahagian Sibu, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian (DTTG) Sibu berkata, edisi kali ini mengetengahkan tema ‘D’Awakening of the Mighty Rajang River’ yang membawa simbolik usaha menghidupkan kembali kegemilangan Sungai Rajang sebagai nadi ekonomi, warisan dan kehidupan masyarakat setempat.
“Pemilihan Pulau Li Hua sebagai lokasi perlumbaan dibuat berdasarkan faktor strategik dan kesesuaian teknikal, antaranya keluasan litar, sudut pandangan 360 darjah untuk penonton serta sistem kawalan keselamatan yang teratur,” tambahnya.
Seiring dengan itu, majlis perasmian dijangka disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, manakala majlis penutupan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof.
Selain perlumbaan utama, pelbagai aktiviti sampingan turut disusun sepanjang penganjuran bagi menarik kehadiran pengunjung, termasuk pertandingan mewarna dan melukis kanak-kanak, jualan makanan dan minuman serta cabutan tiket bertuah.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya warga Sibu dijemput hadir memeriahkan acara bertaraf antarabangsa ini, dengan kemasukan adalah percuma serta perkhidmatan bas ulang-alik disediakan setiap 15 hingga 30 minit bagi memudahkan pergerakan pengunjung ke lokasi program.
Hadir sama Setiausaha Sulit kepada Timbalan Perdana Menteri, Morshidi Sa-id, Setiausaha DTTG Sibu, Maria Nadja Jimmy serta yang lain.
Oleh Tarani Lanting