
KUCHING: Setiausaha Pemangku Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kuching, Nicholas Wung, menggesa orang ramai mengambil langkah proaktif menjaga kesihatan dengan menyertai Program Vaksinasi Influenza Komuniti.
Beliau berkata, program anjuran Sayap Pemuda SUPP Cawangan Kuching dengan kerjasama Yayasan Pengguna Negara Malaysia Cawangan Sarawak, Pertubuhan Kebajikan Pengguna Sarawak serta JKKK Jalan Rock Bampfylde itu bertujuan menyediakan vaksin influenza yang mampu milik dan mudah diakses masyarakat.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk melindungi kesejahteraan orang ramai dengan memastikan vaksin influenza lebih mudah diperoleh. Vaksinasi bukan sahaja membantu mencegah jangkitan, malah mengurangkan risiko komplikasi serius serta melindungi keluarga dan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan.
Program berkenaan akan diadakan pada 1 Mei 2026, dari 12.00 tengah hari hingga 4.00 petang di Pusat Khidmat SUPP Cawangan Kuching, N9 Padungan.
Bayaran vaksinasi ditetapkan RM50 bagi setiap dos, dengan penyertaan terhad kepada 150 individu berdasarkan konsep siapa cepat, dia dapat.
Orang ramai diingatkan membawa kad pengenalan untuk tujuan pengesahan. Warga emas berumur 60 tahun ke atas boleh memanfaatkan Skim Manfaat Kesihatan Warga Emas (SCHB) bagi menampung kos vaksinasi, tertakluk kepada permohonan dan kelulusan awal.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Morgan di talian 011-51246316 atau Karen di 016-8681008 melalui WhatsApp.
Wung menambah, langkah pencegahan seperti vaksinasi penting dalam memastikan tahap kesihatan yang baik serta memberi ketenangan kepada keluarga.
Oleh Connie Chieng