
BINTULU: Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu akan menganjurkan Hari Terbuka PPD Bintulu 2026 pada Jumaat ini (24 April) di Boulevard Shopping Mall, dari 10.00 pagi hingga 5.00 petang.
Program itu terbuka kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), ibu bapa, warga pendidik serta masyarakat setempat yang ingin mendapatkan maklumat terkini mengenai peluang pendidikan dan hala tuju kerjaya.
Pelbagai pengisian disediakan sepanjang program, termasuk pameran pendidikan dan kerjaya yang menghimpunkan pelbagai institusi, sesi ceramah pendidikan, serta perkhidmatan sokongan psikologi dan psikososial bagi membantu pelajar mengenal pasti potensi diri dan merancang laluan kerjaya dengan lebih terarah.
Selain itu, program berkenaan turut menjadi platform interaksi antara masyarakat dengan agensi serta institusi pendidikan, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan penjelasan lanjut mengenai syarat kemasukan, program pengajian dan peluang yang ditawarkan.
Penganjuran program itu bertujuan merapatkan jurang antara institusi pendidikan dan komuniti, di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pendidikan dalam melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk Bintulu digalakkan hadir bagi memanfaatkan peluang mendapatkan maklumat secara terus daripada agensi dan institusi pendidikan.
Program berkenaan mengangkat tema ‘Merapatkan Jurang, Meningkatkan Mutu, Meraih Kejayaan Bersama.’
Oleh Faizah Muzidi