
PAKAN: Seorang lelaki berumur 55 tahun mengalami kecederaan ringan selepas kereta jenis Perodua Axia dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas di Jalan Babai pada petang semalam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Julau, DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan tersebut sekitar 7.04 malam.
Katanya, kemalangan dipercayai berlaku sekitar 6.20 petang.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang bergerak dari arah Sibu menghala ke Pakan dipercayai hilang kawalan dan masuk ke haluan sebelah kanan lalu terlanggar pada bahagian depan sebelah kanan bas dan menyebabkan kereta berpusing ke kiri jalan.
“Mangsa (pemandu kereta) mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke Klinik Kesihatan Pakan untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, malam tadi.
Tambahnya, pemandu bas tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan tersebut.
“Keadaan jalan di lokasi kejadian dilaporkan lurus, dua lorong dua hala dan permukaan jalan kering ketika insiden berlaku.
Katanya, kes tersebut kini disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59).
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Oleh Earl Anek