
JEDDAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan ketibaan jemaah ke negara itu melalui pintu masuk udara, darat dan laut bagi menunaikan ibadah haji tahun ini, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA).
Proses itu dilaksanakan menerusi sistem perkhidmatan dan kemudahan bersepadu di bawah penyeliaan Menteri Dalam Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Haji, Putera Abdulaziz Saud Naif Abdulaziz dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan prosedur kemasukan dan pemindahan ke tempat penginapan berjalan lancar.
Kementerian itu memaklumkan bahawa lapangan terbang menerima penerbangan dari beberapa negara termasuk Pakistan, Turkiye, Afghanistan, Malaysia, India, Bangladesh dan Thailand pada Sabtu dengan kira-kira 30 penerbangan diproses mengikut prosedur teratur.
Menurut kementerian itu, tahap kesiapsiagaan di semua pintu masuk turut dipertingkat menerusi pertambahan petugas, pengaktifan laluan khas jemaah haji serta penyediaan kemudahan penerimaan bagi meningkatkan kecekapan dan mempercepat urusan.
Kementerian itu turut menekankan penyelarasan antara agensi bagi memudahkan prosedur kemasukan, menyediakan panduan dan sokongan pelbagai bahasa, serta memastikan urusan pemindahan jemaah ke tempat penginapan mereka di Makkah dan Madinah berjalan lancar. – Bernama