
KUCHING: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai arus perdana apabila seramai 10,808 graduan Kolej Vokasional (KV) di seluruh negara menerima diploma masing-masing sempena Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional kali ke-10 anjuran Kementerian Pendidikan (KPM).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof dalam ucapan perasmiannya berkata, TVET kini semakin diterima sebagai pilihan utama dalam kalangan pelajar untuk membina masa depan kerjaya.
Menurut beliau, perubahan persepsi masyarakat terhadap pendidikan kemahiran jelas ketara apabila bidang itu tidak lagi dilihat sebagai pilihan kedua, sebaliknya diangkat sebagai laluan utama menuju kejayaan.
Katanya, peningkatan mendadak permohonan ke kolej vokasional membuktikan perkara tersebut, apabila jumlah permohonan meningkat daripada 28,098 pada 2022 kepada 58,263 pada tahun ini.
“Jumlah ini jauh melebihi kapasiti pengambilan sekitar 17,912 pelajar, sekali gus menggambarkan permintaan tinggi terhadap bidang kemahiran dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Beliau menambah, perkembangan itu selari dengan aspirasi Dasar TVET Negara 2030 yang mensasarkan bidang berkenaan sebagai pilihan utama kerjaya dalam usaha memperkukuh pembangunan ekonomi negara.
Pada masa sama, TVET kini diiktiraf sebagai nadi penting dalam pembangunan tenaga kerja negara, khususnya dalam memenuhi keperluan industri yang semakin menuntut kemahiran teknikal serta kepakaran digital.
Jelasnya, pendekatan TVET yang menekankan kecekapan praktikal dan latihan menyeluruh menjadikan graduannya lebih kompeten dan versatil, seterusnya mampu menjadi pemacu kepada perkembangan industri dan pembangunan negara.
Majlis konvokesyen yang berlangsung dari 6 April hingga hari ini melibatkan tiga zon utama iaitu Semenanjung, Sabah dan Labuan serta Sarawak, sekali gus menandakan satu dekad pelaksanaan majlis berkenaan di bawah KPM.
Bagi Zon Sarawak, majlis berlangsung di Pusat Hikmah Exchange hari ini dengan penglibatan seramai 874 graduan daripada 15 program pengajian.
Daripada jumlah tersebut, seramai 437 graduan diraikan dalam sidang 20 melibatkan program Diploma Seni Kulinari, Teknologi Penyejukan dan Penyamanan Udara, Teknologi Pemesinan Industri, Teknologi Kimpalan, Teknologi Elektrik, Bakeri dan Pastri serta Teknologi Pembinaan.
Sementara itu, sidang 21 turut menyaksikan 437 graduan menerima diploma masing-masing dalam program Diploma Pengurusan Pelancongan, Teknologi Automotif, Pengurusan Perniagaan, Seni Reka Fesyen, Kosmetologi, Perakaunan, Teknologi Maklumat dan Teknologi Elektronik.
Oleh Norman B