LIMBANG: Kemudahan telekomunikasi amat penting sejajar dengan tumpuan kerajaan Sarawak untuk memperluaskan rangkaian ekonomi digital.
Sehubungan itu langkah awal dengan memperbanyakkan prasarana dan menara telekomunikasi di Sarawak adalah sebagai usaha awal ke arah mewujudkan syarikat telekomunikasi(Telco) sendiri.
Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, penubuhan telco sendiri kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah keengganan kalangan syarikat telekomunikasi sedia ada untuk memperluaskan perkhidmatan Internet mereka ke kawasan luar bandar Sarawak adalah langkah paling tepat dan bijak.
Ini mampu memberi keuntungan dalam jangka panjang sesuai dengan perkembangan era teknologi telekomunikasi yang semakin berkembang.
Pada masa yang sama, kerajaan bukan saja memahirkan pegawai kerajaan dalam ekonomi digital tetapi memberi manfaat ke seluruh penduduk di luar bandar di Sarawak dibawah pendekatan sama.
Beliau menyatakan demikian ketika merasmi Pusat Komuniti Digital Pustakaan anjuran Pustaka Negeri Sarawak di Perpustakaan Desa Kampung Meritam Limbang baru-baru ini.
Menurutnya lagi, kerajaan negeri juga perlu memperbanyakkan pendekatan untuk mendapatkan liputan internet bukan saja melalui menara telekomunikasi tetapi juga penggunaan satelit.
“Kita menyokong dan berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam meluaskan lagi capaian internet khusus di luar bandar dengan menubuhkan telco kerajaan negeri sendiri,”ujarnya
Turut hadir ialah Residen Bahagian Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengurus Wilayah mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak Salina Zawawi, Penolong Pegawai Daerah Limbang Hamidah Halpi dan Ketua Kampung Meritam Mahmud Gampal.
Selain kemudahan asas seperti jalan raya, elektrik dan air, Sarawak turut mensasarkan untuk meliputi semua kawasan di negeri ini dengan kemudahan telekomunikasi menjelang 2025.
Sementara itu katanya, dua buah perpustakaan desa di Limbang iaitu Kampung Meritam dan Kampung Pahlawan telah dinaik taraf menjadi Pusat Komuniti Digital Pusaka yang dikendalikan Pustaka Negeri Sarawak bersama-sama dengan Sarawak Multimedia Authority (SMA).
“Bagi tujuan itu Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM5 juta bagi mewujudkan Pusat Komuniti Digital seluruh negeri Sarawak,” jelasnya.
Pada majlis itu, beliau telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM20,000 untuk Perpustakaan Desa Kampung Meritam bagi tujuan mengecat bangunan dan memperbesarkan kawasan parkir kereta.
Oleh ADENG EDRUS