
KUCHING: Pasar Tani Semula Jadi Kuching bukan sekadar platform jual beli, sebaliknya berkembang sebagai ruang komuniti yang menghubungkan masyarakat melalui gaya hidup sihat, interaksi sosial dan aktiviti kekeluargaan.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, pasar tersebut memainkan peranan penting dalam membentuk sebuah bandar yang lestari dengan menekankan kesejahteraan penduduk, selari dengan aspirasi bandar mesra kanak-kanak dan warga emas.

Menurut beliau, kepentingan menjaga kesihatan perlu bermula daripada pemakanan harian, justeru pasar tani menjadi medium untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan makanan semula jadi dan sihat.
“Sepintar mana pun seseorang, kesihatan tetap menjadi keutamaan. Apa yang kita makan setiap hari memberi kesan besar kepada kesejahteraan hidup,” katanya ketika ditemui pada sesi turun padang di pasar berkenaan.

Tambahnya, pasar tersebut turut menyediakan persekitaran unik yang menggalakkan interaksi antara peniaga dan pengunjung, sekali gus mewujudkan suasana seperti sebuah keluarga besar.
Beliau berkata, pelbagai aktiviti dianjurkan termasuk sambutan perayaan, pertandingan serta program melibatkan kanak-kanak yang menjadikan pasar itu lebih hidup dan mesra komuniti.
“Ini bukan sekadar pasar. Ia adalah tempat orang berkumpul, berkenalan dan mengeratkan hubungan. Peniaga saling menyokong antara satu sama lain walaupun dalam suasana perniagaan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Wee memaklumkan penglibatan doktor bersara dan pertubuhan bukan kerajaan yang menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma secara berkala turut menambah nilai kepada fungsi pasar tersebut.
Katanya, inisiatif itu memberi kemudahan kepada pengunjung untuk mendapatkan saringan kesihatan sambil mengamalkan gaya hidup sihat.

Selain itu, pasar berkenaan juga menjadi platform untuk memelihara warisan makanan tempatan melalui kepelbagaian hasil tani dan produk unik yang jarang ditemui di pasaran biasa.
Wee menjelaskan bahawa usaha tersebut selari dengan peranan Kuching sebagai bandar gastronomi yang menitikberatkan kreativiti dalam makanan serta pemeliharaan identiti tempatan.
“Di sini kita dapat lihat pelbagai jenis hasil tempatan dan resipi kreatif yang mencerminkan keunikan budaya serta warisan makanan kita,” katanya.


Beliau turut menambah bahawa konsep pasar yang bersih, ceria dan mesra keluarga penting bagi menarik minat generasi muda untuk lebih menghargai pasar sebagai ruang komuniti yang positif.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak inisiatif seumpamanya dapat diperluaskan pada masa hadapan bagi memastikan masyarakat terus menikmati manfaat daripada ruang interaksi yang sihat dan inklusif.
Oleh Adele Rissa