Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Pasar Tani Semula Jadi Kuching kongsi ruang komuniti sihat dan interaktif
  • TEMPATAN

Pasar Tani Semula Jadi Kuching kongsi ruang komuniti sihat dan interaktif

Utusan Sarawak 5 hours ago
PENGUNJUNG menjalani pemeriksaan kesihatan percuma yang disediakan oleh doktor bersara di Pasar Tani Semula Jadi Kuching. Foto Nadya Victoria

KUCHING: Pasar Tani Semula Jadi Kuching bukan sekadar platform jual beli, sebaliknya berkembang sebagai ruang komuniti yang menghubungkan masyarakat melalui gaya hidup sihat, interaksi sosial dan aktiviti kekeluargaan.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, pasar tersebut memainkan peranan penting dalam membentuk sebuah bandar yang lestari dengan menekankan kesejahteraan penduduk, selari dengan aspirasi bandar mesra kanak-kanak dan warga emas.

INTERAKSI… Dato Wee Hong Seng berinteraksi bersama pengunjung ketika sesi turun padang di Pasar Tani Semula Jadi Kuching. Foto Nadya Victoria

Menurut beliau, kepentingan menjaga kesihatan perlu bermula daripada pemakanan harian, justeru pasar tani menjadi medium untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan makanan semula jadi dan sihat.

“Sepintar mana pun seseorang, kesihatan tetap menjadi keutamaan. Apa yang kita makan setiap hari memberi kesan besar kepada kesejahteraan hidup,” katanya ketika ditemui pada sesi turun padang di pasar berkenaan.

SEKITAR pemeriksaan kesihatan percuma di Pasar Tani Semula Jadi Kuching. Foto Nadya Victoria

Tambahnya, pasar tersebut turut menyediakan persekitaran unik yang menggalakkan interaksi antara peniaga dan pengunjung, sekali gus mewujudkan suasana seperti sebuah keluarga besar.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti dianjurkan termasuk sambutan perayaan, pertandingan serta program melibatkan kanak-kanak yang menjadikan pasar itu lebih hidup dan mesra komuniti.

“Ini bukan sekadar pasar. Ia adalah tempat orang berkumpul, berkenalan dan mengeratkan hubungan. Peniaga saling menyokong antara satu sama lain walaupun dalam suasana perniagaan,” ujarnya.

PENGURUS Besar Utusan Sarawak, Ivy Ngo di gerai miliknya di Pasar Tani Semula Jadi Kuching.

Dalam perkembangan berkaitan, Wee memaklumkan penglibatan doktor bersara dan pertubuhan bukan kerajaan yang menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma secara berkala turut menambah nilai kepada fungsi pasar tersebut.

Katanya, inisiatif itu memberi kemudahan kepada pengunjung untuk mendapatkan saringan kesihatan sambil mengamalkan gaya hidup sihat.

SUASANA Pasar Tani Semula Jadi Kuching.

Selain itu, pasar berkenaan juga menjadi platform untuk memelihara warisan makanan tempatan melalui kepelbagaian hasil tani dan produk unik yang jarang ditemui di pasaran biasa.

Wee menjelaskan bahawa usaha tersebut selari dengan peranan Kuching sebagai bandar gastronomi yang menitikberatkan kreativiti dalam makanan serta pemeliharaan identiti tempatan.

“Di sini kita dapat lihat pelbagai jenis hasil tempatan dan resipi kreatif yang mencerminkan keunikan budaya serta warisan makanan kita,” katanya.

ANTARA jualan produk tempatan yang menarik minat pengunjung pelbagai lapisan umur di Pasar Tani Semula Jadi Kuching. Foto Nadya Victoria 

Beliau turut menambah bahawa konsep pasar yang bersih, ceria dan mesra keluarga penting bagi menarik minat generasi muda untuk lebih menghargai pasar sebagai ruang komuniti yang positif.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak inisiatif seumpamanya dapat diperluaskan pada masa hadapan bagi memastikan masyarakat terus menikmati manfaat daripada ruang interaksi yang sihat dan inklusif.

Oleh Adele Rissa

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Lelaki dipujuk naik tebing sungai, tindakan nekad berakhir selamat di Kota Samarahan
Next: Inisiatif MySRBN XL, lebih 8,000 rumah di Sarawak disambung internet

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.