
KOTA SAMARAHAN: Lelaki berusia 47 tahun yang dipercayai terjun ke dalam sungai di Jambatan Kampung Baru di sini berjaya diselamatkan selepas dipujuk oleh ahli keluarga dan pihak polis, malam ini.
Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada 8.48 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai.
Pasukan bomba yang diketuai Komander Operasi, Awangku Ahmad Hanafiah tiba di lokasi pada 8.58 malam dan mendapati mangsa telah pun berada dalam keadaan selamat.
Difahamkan, mangsa berjaya dipujuk oleh ahli keluarga bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk naik ke tebing sungai sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Sehubungan itu, tiada operasi penyelamatan dijalankan oleh pihak bomba.
Operasi kemudian ditamatkan sepenuhnya pada 9.25 malam selepas pasukan memastikan keadaan di lokasi adalah selamat.