
SIBU: Seorang lelaki ditemukan maut dalam kebakaran sebuah bilik hotel di Jalan Tukang Besi, di sini pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.53 pagi sebelum sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah bilik di tingkat bawah yang musnah sepenuhnya.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan satu pancutan serta satu aliran salur bantu mula sehingga api berjaya dikawal,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati seorang lelaki berusia 43 tahun ditemui di dalam ruang tandas dan disahkan meninggal dunia.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada 8.40 pagi,” katanya.
Oleh Akun Giman