BINTULU: Penerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dinasihatkan untuk memanfaatkan sepenuhnya sumbangan yang telah diagihkan, kata Menteri Utiliti Dato’ Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena berkata semasa berucap pada Majlis Penyerahan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa 4 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena di Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) di sini, semalam.
“Seperti yang saya selalu katakan, nasihat kepada penerima adalah supaya menggunakan geran yang telah diberikan dengan sebaik mungkin.
“Ini kerana, untuk makluman semua, laporan perlu dibuat dan dihantar kepada pihak kementerian saya di Kuching untuk dikemukakan kepada Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri (SIMU),” jelasnya.
Beliau menambah, setakat ini, berdasarkan rekod laporan yang ada di Pusat Khidmat Kemena di Sebauh dan Suai, Batu Niah adalah sempurna.
“Saya pun telah memberi laporan ini kepada SIMU dan ini penting kerana ia akan diaudit bagaimana kita menyelenggarakan peruntukan yang telah diberikan oleh kerajaan.
Sejumlah RM656, 650 diagihkan kepada 29 penerima DUN Kemena yang terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Biro Wanita serta lain-lain.
Turut hadir, Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak, Jenny Bangga.
Oleh CAROLYNE UTIH