
BETONG: Penamaan Jalan Lubok Tamang yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg membuka lembaran baharu pembangunan infrastruktur luar bandar sekali gus mempercepat akses serta merancakkan ekonomi setempat.
Majlis perasmian penamaan jalan tersebut berlangsung di simpang jalan berkenaan di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau bersama dif kenamaan lain menerima taklimat projek daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris sebelum menyempurnakan simbolik perasmian papan tanda Jalan Lubok Tamang.
Jalan sepanjang 9.5 kilometer itu menghubungkan Kampung Suri ke Kampung Manggut dan Kampung Tuie di Debak sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 penduduk sekitar.

Projek bernilai RM35 juta yang siap sepenuhnya pada April 2023 itu merangkumi pembinaan jalan berturap serta dua jambatan merentasi Sungai Jerai dan Sungai Lubok Selubang.
Pembinaan laluan tersebut yang telah siap menjadikan masa perjalanan kini lebih singkat, selain meningkatkan kesalinghubungan kawasan luar bandar dan membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat.
Lebih signifikan, jalan itu dijangka menjadi laluan utama ke kawasan Agropark Lubok Tamang yang berpotensi mengubah landskap ekonomi Saribas menerusi pembangunan pertanian moden.
Bagi perkembangan sama, Premier Sarawak turut diberi taklimat mengenai projek pembangunan agropark berkenaan oleh Pengurus Besar Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), Datu Sr Zaidi Mahdi.
Projek bersepadu seluas 763 hektar itu merangkumi pembangunan kawasan pertanian, pusat pelancongan, pusat pemprosesan dan pengumpulan hasil serta zon pembangunan masa hadapan dengan kelapa pandan sebagai tanaman utama.
Agropark tersebut dijangka mampu menghasilkan sehingga 10 juta biji kelapa setahun sekali gus meningkatkan potensi eksport dan mengurangkan kebergantungan terhadap import komoditi berkenaan.
Selain itu, pelaksanaannya turut memperkukuh ekosistem agropreneur tempatan melalui pewujudan peluang pekerjaan, penyediaan latihan serta penglibatan aktif dalam amalan pertanian moden.
Projek di bawah inisiatif Projek Rakyat itu dijadualkan bermula pada Jun 2026 dengan penanaman dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh 20 bulan.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan tetamu kehormat lain.