SRI AMAN: Penduduk Kampung Pakit A menerima kunjungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam anjuran program Jiwa Murni yang pertama pada tahun ini.
Program gotong-royong membersihkan kampung disertai anggota pasukan 13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) membantu penduduk Kampung Pakit A pada Sabtu (21 November).
Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia, Briged Jeneral Datuk Azhar Ahmad berkata, program ini dijalankan adalah untuk mendekatkan ATM dengan orang awam selain menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan ketika pasca Covid-19.
Menurut beliau, program ini dijalankan sempena hari ulang tahun Briged yang ke-61, Briged yang Ketiga Infantri Angkatan Tentera Malaysia dan ia telah dirancang awal.
“kita juga telah menyusun program untuk rapatkan pihak kita dengan masyarakat di mana di kampung ini, terdapat seramai 185 penduduk,” ujar beliau.
Beliau juga menerangkan bahawa kebanyakan penduduk di sini adalah pekerja sektor awam atau swasta dan majoriti adalah petani dalam lingkungan umur 50-an.
“Untuk program Jiwa Murni pertama pada tahun ini, kita memilih lokasi yang berhampiran dengan Kem Pakit dan kampung ini juga berada dalam kawasan zon hijau bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dari kerajaan dapat dipatuhi untuk mengelakkan penularan wabak Covid-19.
“Ini memberikan kemudahan kepada kita selain memberi penjimatan dalam aspek logistik dan masa, aspek SOP juga dapat diperketatkan kerana lokasi kampung dan kem yang berdekatan,” jelasnya lagi ketika ditemui di sana.
Beliau berkongsi pendapat bahawa program ini memberi banyak manfaat kepada pihak ATM dan masyarakat selain mengeratkan hubungan sosial antara ATM dan masyarakat.
“kita komited mahu menjaga masyarakat dan dengan adanya penganjuran program sedemikian, kita dapat menyalurkan bantuan keprihatinan kita dengan lebih berkesan,” tambahnya.
Program turut diserikan dengan acara menyampaikan barang bantuan kepada penduduk yang terjejas ketika Azhar menjalankan lawatan mengelilingi kampung.
Oleh ASYRAF HALIM