
SARIKEI: Peruntukan melebihi RM1 juta bagi pembinaan semula Rumah Lingga Ujang di Jalan Selangan memberi kelegaan kepada lebih kurang 300 penduduk selepas sekian lama berdepan keadaan kediaman yang semakin uzur dan tidak selamat didiami.
Projek pembinaan semula rumah panjang yang mempunyai 75 pintu tersebut dilaksanakan menerusi gabungan beberapa inisiatif kerajaan termasuk Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), Program Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Mesra Rakyat (PMR) dan Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS).
Tuai Rumah Lingga Ujang berkata, penduduk amat bersyukur apabila projek tersebut hampir siap selepas sekian lama tinggal dalam keadaan struktur rumah yang semakin reput dan membimbangkan dari segi keselamatan.
“Keadaan sebelum ini amat merisaukan kerana jumlah penghuni yang ramai boleh meningkatkan risiko kejadian tidak diingini seperti runtuhan.


“Lebih menggembirakan projek ini hampir siap dan kami sudah tidak sabar untuk berpindah ke rumah baharu,” katanya ketika ditemui di rumah panjang tersebut, semalam.
Katanya, struktur lama rumah panjang yang dibina menggunakan kayu didapati semakin reput terutama pada bahagian lantai serta rangka utama sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penghuni daripada pelbagai peringkat umur.
“Projek pembinaan semula ini amat penting bagi memastikan kami sebagai penduduk di sini menikmati kediaman yang lebih kukuh, selamat dan selesa selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar,” katanya.
Dalam pada itu, projek tersebut turut dilaksanakan dengan sokongan Skim Pinjaman Rumah Panjang daripada Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) yang menyediakan pembiayaan sebanyak RM30,000 bagi setiap pintu.

Lingga merakamkan penghargaan kepada Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii atas sokongan berterusan dalam menjayakan projek tersebut.
Penghargaan turut dizahirkan kepada kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang terus komited memastikan pembangunan luar bandar dilaksanakan secara menyeluruh demi kesejahteraan rakyat.
Oleh Earl Anek