SARIKEI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarikei telah menjalankan pemantauan fenomena air pasang di beberapa kawasan rendah disini sejak kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, PPgB Mahmudin Narudin berkata, pemantauan air pasang sentiasa diteruskan oleh pihaknya bagi memastikan keselamatan penduduk yang terjejas akibat fenomena air pasang.
“Semalam (kelmarin) kami telah memantau di beberapa kawasan rendah yang dinaiki air pasang.
“Pemantauan yang bemula 6.10 petang dijalankan oleh dua anggota bomba dan pemantauan diteruskan pada sebelah malam sekitar 8.15 malam,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, pagi semalam.
Katanya, antara kawasan yang dipantau ialah sekitar Jalan Cempaka, kawasan pasar, Jalan, Jalan Pisang Emas, Jalan Pedada, Jalan Rentap, Jalan Melor, Jalan Rambai dan Jalan Bunga Raya (Taman Lalulintas).
“Ketika rondaan dijalankan, keadaan paras air naik di setiap lokasi rondaan dan keadaan masih dalam keadaan terkawal.
“Saya berharap, ibu bapa di kawasan yang terjejas dengan air pasang ini sentiasa memerhatikan anak-anak kecil mereka supaya tidak bermain air pasang yang boleh mengundang bahaya, lebih-lebih lagi sekiranya tidak pandai berenang.
“Hubungi pihak bomba sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti rumah dinaiki binatang berbisa dan berbahaya semasa air pasang,” ujarnya.
Oleh Earl Anek