KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak sedang mempergiatkan kawalan keselamatan sempadan perairan Sarawak daripada dibolosi pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berkemungkinan membawa Covid-19.
Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, pihaknya terlibat sepenuhnya dalam pengoperasian Op Benteng dan melakukan kawalan sempadan perairan negara secara berjadual bersama Tentera Laut Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Perikanan Laut Sarawak.
Beliau turut menegaskan komitmen pasukannya dalam memerangi penularan Covid-19 menerusi OP Benteng Timur Laut.
“Setakat hari ini, tiada sebarang kes melibatkan PATI direkodkan Maritim Negeri Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi temu bual bersama media setelah selesai pelayaran bersama media Sarawak, semalam.
Seramai empat wakil daripada media Sarawak menyertai sesi pelayaran itu dan melihat dengan jelas operasi serta cabaran penguat kuasa Maritim Malaysia melaksanakan tugas dalam mengekang pati dan Covid-19 melalui perairan.
Pelayaran bersama media pada kali ini lebih memfokuskan kepada pendekatan normal baharu yang diaplikasikan APMM dalam setiap pemeriksaan dan penguatkuasaan.
Selain daripada memeriksa dokumen, pemeriksaan suhu mengikut garis panduan SOP turut dibuat ke atas kru di bot yang diperiksa.
Ini merupakan langkah awal bagi mencegah penularan Covid-19.
Pegawai penguat kuasa turut menyampaikan taklimat keselamatan di laut dan tatacara pemakaian jaket keselamatan yang betul serta mengedarkan pelekat keselamatan di laut kepada bot-bot nelayan.
Menurut Zin lagi, menerusi statistik pemeriksaan dan tangkapan bermula Januari sehingga ke hari ini, Maritim Negeri Sarawak telah membuat pemeriksaan ke atas 13,174 vesel dan 64 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Saya nasihati komuniti Maritim agar peka dengan cuaca, sentiasa memakai jaket keselamatan, pastikan keadaan kapal atau bot berada di tahap memuaskan dan mempunyai alat personal locator beacon (PLB) ketika turun ke laut bagi memudahkan pasukan penyelamat mengesan lokasi sekiranya berlaku kecemasan di laut,” ujarnya.
Orang ramai disarankan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak jika berlaku kecemasan atau kejadian mencurigakan di laut menerusi talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.
Oleh Nur Ain Otsman