

JULAU: Penduduk rumah panjang digesa memperkukuh kerjasama dengan pihak polis dalam usaha membanteras jenayah melalui pendekatan kepolisian komuniti yang berkesan, kata Ketua Polis Daerah (KPD) Julau, DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah.
Katanya, rumah panjang bukan sekadar tempat tinggal, ia adalah simbol perpaduan, warisan dan kekuatan komuniti setempat.
“Dalam dunia yang semakin mencabar ini, kita tidak boleh leka.
“Jenayah boleh berlaku di mana-mana, dan pencegahannya bermula dari kesedaran serta tindakan kita bersama di peringkat komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kepolisian Komuniti: Bersatu Memerangi Jenayah yang diadakan di Rumah Debok, Nanga Dong, semalam.

Tambahnya, program tersebut turut melibatkan pelbagai pengisian termasuk ceramah berkaitan jenayah komersial seperti penipuan dalam talian dan kesalahan trafik oleh pihak polis, selain taklimat penyalahgunaan dadah oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bahagian Sarikei.
Selain itu, katanya, Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Sarikei turut menyampaikan taklimat berkaitan bahaya merokok dan penggunaan vape, manakala Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor memberikan penerangan mengenai aspek keselamatan kebakaran kepada penduduk setempat.
“Program kita juga turut melibatkan penyertaan dari pasukan Kesihatan Agenda Nasional Malaysia Sihat yang didatangkan khas dari PKB Bahagian Sarikei.
“Pelbagai gerai pameran dan pemeriksaan kesihatan turut diadakan sepanjang program ini.

“Hari ini, kita berkumpul bukan sekadar untuk mendengar ceramah dan taklimat, tetapi untuk meningkatkan kesedaran diri, memperkukuh semangat kerjasama dan nilai perpaduan sesama kita,” katanya lagi.
Alif menggesa penduduk agar memanfaatkan program seumpama itu sebagai platform berkongsi maklumat dan menyuarakan kebimbangan berkaitan isu keselamatan supaya tindakan pencegahan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan di peringkat komuniti.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien.
Oleh Earl Anek