
MIRI: Hanya dalam tempoh 19 hari, keprihatinan masyarakat berjaya mengumpul lebih RM200,000 sekali gus membuka jalan kepada dua kanak-kanak kurang upaya pendengaran untuk menjalani pembedahan implan koklea di sini.
Dua kanak-kanak terbabit ialah Andy Harrison, 3, dan Flora Lee Kai Shuan, 4, yang dijangka menjalani pembedahan di Hospital Miri pada penghujung April ini.
Pengerusi Persatuan Implan Koklea Miri (MCIS), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, kempen kutipan dana itu bukan sahaja mendapat sambutan daripada komuniti setempat, malah turut menerima sumbangan daripada orang ramai di luar Miri.
Menurutnya, jumlah keseluruhan kutipan mencecah RM232,079.51 termasuk sumbangan RM100,000 daripada seorang penderma yang enggan dikenali, selain tambahan RM50,000 daripada pihak MCIS sendiri.
“Kami menerima lebih RM132,000 yang dimasukkan terus ke dalam akaun bank, dan dengan jumlah keseluruhan ini, kami kini boleh meneruskan urusan pembedahan bagi kedua-dua kanak-kanak tersebut,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.
Menurut Ting, keseluruhan dana yang dikumpulkan akan diurus oleh MCIS bagi menampung kos pembedahan dan menyediakan program pemulihan termasuk latihan pendengaran selepas prosedur.
Oleh Liong Chai Ling