
SARIKEI: Usaha memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan murid terus diperkukuh apabila Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwang Chien mengambil inisiatif membina model roket Artemis II menggunakan teknologi cetakan 3D sebagai medium pembelajaran interaktif.
Projek tersebut dilaksanakan di bawah pimpinan Guru Besar, Teng Kim Ung dengan penglibatan aktif guru dan murid, sekali gus memberi pendedahan awal kepada dunia kejuruteraan dan teknologi angkasa lepas.
Menurut pihak SJKC Kwang Chien, projek yang mengambil masa kira-kira 200 jam itu berjaya menghasilkan model roket Artemis II yang lengkap dan dipasang dengan teliti.
“Projek ini bukan sahaja bertujuan menghasilkan model semata-mata, malah berfungsi sebagai medium pembelajaran interaktif.
“Murid berpeluang memahami konsep asas kejuruteraan, teknologi serta operasi misi angkasa melalui pengalaman secara langsung.
“Pendekatan ini membolehkan murid belajar secara praktikal, sekali gus memupuk minat mereka terhadap bidang sains dan teknologi sejak peringkat awal,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, aktiviti tersebut dikendalikan oleh panitia sains sekolah dan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan sekolah dalam memperkasa pendidikan STEM melalui pendekatan inovatif dan berasaskan amali.
“Dengan sokongan Lighthouse of Hope Sarawak, sekolah turut menubuhkan STEM Hub yang dilengkapi pelbagai kemudahan bagi menyokong aktiviti pembelajaran berasaskan inovasi dan amali.
“Pihak kami berharap pendedahan awal kepada teknologi canggih ini dapat membentuk pemikiran kreatif dan kritis dalam kalangan murid, sekali gus melahirkan generasi yang berdaya saing dalam bidang sains dan teknologi pada masa hadapan.
“Impian hari ini mampu menjadi realiti pada masa hadapan. Kami percaya setiap murid mempunyai potensi untuk menjadi pencetus inovasi negara,” katanya.
Oleh Earl Anek