
INDIO, Amerika Syarikat: Ribuan peminat berkumpul di padang pasir California bagi menghadiri Festival Coachella yang dinanti-nantikan, yang membuka tirainya semalam dengan menampilkan persembahan bintang pop, Sabrina Carpenter, sebagai artis utama.
Selain Sabrina Carpenter, barisan artis bertaraf bintang, termasuk Justin Bieber dan Karol G dari Colombia sebagai artis utama, memeriahkan pentas di Indio selama dua hujung minggu berturut-turut, sekali gus membuka tirai musim festival muzik Amerika Syarikat bagi 2026.
Di bawah terik matahari padang pasir Coachella, para pengunjung tampil dengan gaya fesyen paling ikonik, daripada but koboi dan pakaian denim kasual hingga busana berkilauan yang memancarkan glamor festival muzik bertaraf dunia itu.

Artis popular yang baharu seperti Teddy Swims, kumpulan KATSEYE, serta perintis muzik elektronik, Moby, dan Carpenter turut membuat persembahan di pentas Coachella.
Peminat turut menikmati minuman slushie serta peluang bergambar di Sabrina Carpenter’s Pit Stop, sebuah instalasi bertemakan stesen minyak yang menampilkan van merah jambu daripada video House Tour.
“Ia jauh lebih istimewa apabila anda dapat menyelami dan merasai sendiri konsep yang cuba disampaikan oleh seseorang artis,” kata Miss Universe Cuba, Lina Luaces, ketika bergambar di salah satu kereta vintaj yang dipamerkan.
Di kawasan festival, acara berlangsung di sembilan pentas, manakala penutup hari pertama menampilkan persembahan DJ Itali, Anyma, yang dijadualkan memperkenalkan produksi baharunya, “Æden”.

Turut mengadakan persembahan ialah Nine Inch Nails, yang bergandingan dengan penerbit Jerman, Boys Noize, serta kumpulan rock dari New York, The Strokes.
Namun, gelombang nostalgia kian memuncak dengan tercetusnya “demam Bieber” susulan kemunculan Justin Bieber yang mendendangkan lagu-lagu hit seperti “Sorry” dan “Where Are U Now”.
Malam tersebut turut menampilkan persembahan artis techno seperti Armin van Buuren dan Adam Beyer, bintang K-pop seperti Taemin, serta sensasi muzik tarian dari Britain, PinkPantheress.
DJ dan penerbit dari Perancis, David Guetta, kembali ke padang pasir Indio, manakala David Byrne, pengasas bersama kumpulan Talking Heads, turut membuat kemunculan. Sebagai bukti kepelbagaian genre di Coachella, pentas utama festival itu juga menampilkan pempengaruh yang menjadi penyanyi, Addison Rae. — AFP