KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan pendiriannya bahawa segala pertikaian di Laut China Selatan perlu ditangani secara aman dan konstruktif, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini semalam.
Beliau berkata, ia mesti diselesaikan sejajar dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diterima sejagat, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.
“Malaysia berpandangan, semua pihak perlu bekerjasama bagi memastikan Laut China Selatan kekal sebagai laut perdagangan, aman dan stabil.
“Sebagai negara pesisir pantai, amat penting kawasan maritim kami selamat untuk kemakmuran perdagangan antarabangsa,” katanya ketika mencelah pada sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN Ke-37 yang bermula semalam.
Muhyiddin mengetuai delegasi Malaysia pada sidang kemuncak yang diadakan secara maya itu.
Perdana Menteri turut mengulangi pendirian Malaysia, meskipun undang-undang antarabangsa menjaminkan kebebasan pelayaran, kehadiran kapal perang di Laut China Selatan berpotensi meningkatkan ketegangan sehingga menjejaskan keselamatan, kestabilan dan keamanan andai silap percaturan.
Mengulas perkara lain, Muhyiddin berkata, ASEAN akan kekal sebagai anggota strategik sebuah blok ketika berdepan perubahan geopolitik dan kekuatan itu hanya dapat dicapai jika semua negara anggota terus saling berhubung dan bekerjasama.
“Realitinya sebagai sebuah negara kecil, kita mesti bertaut dengan mereka yang berkongsi nilai sama kerana ia mampu mempertahan dan mengukuh Kepusatan ASEAN yang menjadi hasrat rantau itu dengan pihak luar.
“Malaysia berharap dengan pelbagai rundingan dan perbincangan yang dilaksanakan ASEAN, usaha kolektif kita mungkin dapat merintis jalan untuk merealisasikan matlamat ke arah pembentukan satu Komuniti ASEAN seperti diimpikan semua.
“Sebuah entiti yang berkongsi wawasan dan aspirasi bagi menjana Komuniti ASEAN ke kedudukan lebih tinggi dan strategik serta dapat memberi sumbangan besar kepada keamanan, kestabilan, keselamatan dan kemakmuran antarabangsa,” katanya.
Perdana Menteri turut mengalu-alukan kelulusan terhadap cadangan Australia untuk mengadakan Sidang Kemuncak Tahunan Pemimpin ASEAN-Ausralia bermula 2021. – Bernama