
SIBU: Polis menahan seorang lelaki warga asing serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai keseluruhan RM164,695 dalam dua serbuan berasingan di sekitar bandar ini semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Azari Miskon berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu pada sekitar 11.30 malam di Jalan Pahlawan.
“Dalam serbuan pertama, polis merampas 272.02 gram serbuk jus disyaki campuran dadah jenis ekstasi serta 2.78 gram ketamin dengan anggaran nilai RM5,450,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis melancarkan serbuan kedua kira-kira sejam kemudian di sebuah rumah di Lorong Kiew Nang.
“Hasil serbuan kedua, polis merampas 1,089.79 gram ketamin, 4,509.65 gram serbuk jus disyaki campuran ecstasy, 278.51 gram pil Erimin 5 (890 biji) serta 140 mililiter cecair disyaki ekstasi.
“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM164,695,” jelasnya.
Menurut Azari, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah diminta tampil menyalurkan maklumat melalui talian hotline JSJN di 012-2087222 (Bukit Aman) atau 017-59292211 (Sarawak).
Oleh Tarani Lanting