SIMANGGANG: Ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Lingga diminta bekerja lebih keras bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.
Usaha semua ahli adalah amat penting agar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga terus kekal dipertahan oleh Gabungan Parti Rakyat (GPS) pada pilihan raya itu nanti, kata wakil rakyatnya, Simoi Peri.
“Saya menyeru semua ahli agar tidak terlalu yakin untuk PRN-12 ini nanti. Sebaliknya semua ahli perlulah terus kekal mendampingi rakyat di kawasan DUN Lingga seperti yang sering kita lakukan sebelum ini.
“Jika rakyat mengalami masalah maka sila lapor ke pihak atasan parti (PBB). Langkah ini penting agar rakyat tahu kita sentiasa bekerja untuk mereka tanpa mengira masa dan kekal menyokong PBB-GPS,” kata beliau.
Simoi ketika mengadakan sesi perjumpaan dengan PBB Ranting Kampung Pasir Panas Simanggang juga menasihat semua ahli agar sentiasa bertindak menjaga imej parti dari masa ke semasa.
Katanya semua ahli perlu mengelak pertelagahan dan mengenepikan kepentingan diri agar matlamat perjuangan PBB terus dicapai di bawah payung GPS demi masa depan pembangunan negeri ini.
“Saya mengajak semua ahli untuk berjuang sebaik mungkin demi memastikan projek mega di Sri Aman seperti Jalan Utama Kedua dan Jambatan Batang Lupar Kedua dapat dilaksana dengan lancar selepas PRN-12.
“Jangan biarkan perlaksanaan ini projek ini tergelanda disebabkan kekalahan kita. Pastikan GPS menang bagi membantu Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjadikan Sarawak negeri termaju dalam Malaysia pada 2030 nanti,” kata beliau.
Terdahulu perjumpaan yang berlangsung di Dewan Seri Lemanak Kampung Hulu di sini berkisar kepada perbincangan mengenai strategi dan usaha susulan demi memastikan GPS menang di DUN Lingga pada PRN-12 nanti.
Oleh VALENTINE NGUMBANG