Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Jawatankuasa Amal Sri Aman santuni mangsa kebakaran, hulur bantuan dan sokongan moral
  • Tengah
  • WILAYAH

Jawatankuasa Amal Sri Aman santuni mangsa kebakaran, hulur bantuan dan sokongan moral

Utusan Sarawak 12 hours ago
JAWATANKUASA Amal dan Kesihatan Komuniti Sri Aman mengadakan lawatan kebajikan terhadap keluarga mangsa kebakaran Lorong 1, RPR Fasa 1, Taman Sentosa Indah, Simanggang hari ini. Foto: Jawatankuasa Amal dan Kesihatan Komuniti Sri Aman

SIMANGGANG: Jawatankuasa Amal dan Kesihatan Komuniti Sri Aman menzahirkan keprihatinan yang mendalam terhadap nasib keluarga mangsa kebakaran di Lorong 1, RPR Fasa 1, Taman Sentosa Indah dengan mengadakan lawatan kebajikan ke kediaman sementara mereka, hari ini.

​Lawatan tersebut diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa berkenaan, Gerald Empaling Donald, bersama beberapa ahli jawatankuasa lain bagi menyantuni mangsa kebakaran, Dayang Siti Mahfuzah Abang Mohd Sanwani serta ahli keluarganya yang masih dalam fasa pemulihan.

​Tragedi yang berlaku pada awal pagi 7 Mac lalu itu telah menggemparkan seluruh penduduk Bandar Simanggang apabila api marak memusnahkan kediaman keluarga tersebut dan meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun, Ahmad Arfan Shah.

​Kesedihan keluarga tersebut bertambah apabila datuk mangsa, Abang Mohd Sanwani Abang Amin, 65, yang menghidap sakit jantung dan mempunyai kecacatan kaki, dilaporkan meninggal dunia beberapa hari selepas kejadian akibat kecederaan melecur yang serius.

​Selain kehilangan nyawa, beberapa ahli keluarga lain turut mengalami kecederaan parah, termasuk Dayang Khairulnisa Abang Mohd Sanwani, 41, manakala Ahmed Alif Firdaus Jaidi, 15, dan Anis Natrah Jaidi, 13, mengalami kecederaan melecur pada bahagian kaki.

​Dayang Siti Mahfuzah sendiri tidak terkecuali daripada kecederaan apabila turut melecur pada bahagian kaki dan tangan semasa berusaha menyelamatkan diri daripada marakan api dalam kejadian menyayat hati tersebut.

JAWATANKUASA Amal dan Kesihatan Komuniti Sri Aman mengadakan lawatan kebajikan terhadap keluarga mangsa kebakaran Lorong 1, RPR Fasa 1, Taman Sentosa Indah, Simanggang hari ini. Foto: Jawatankuasa Amal dan Kesihatan Komuniti Sri Aman

​Menyedari bebanan berat yang dipikul keluarga ini, Gerald Empaling mengambil inisiatif menghulurkan sumbangan segera berupa barangan keperluan makanan, set alat tulis untuk anak-anak, serta sumbangan tunai bagi meringankan kesulitan kewangan mereka.

​Dalam sesi lawatan tersebut, Gerald menegaskan bahawa bantuan berbentuk material semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya sokongan moral dan emosi amat kritikal bagi memastikan keluarga mangsa terus tabah menghadapi trauma yang dialami.

​”Selain sumbangan barangan dan wang ringgit, keluarga ini juga harus diberikan sokongan emosi untuk memastikan agar mereka terus kuat dalam menempuhi dugaan yang besar ini,” katanya pada lawatan tersebut.

Gerald turut memberi jaminan bahawa pihaknya melalui Jawatankuasa Amal dan Kesihatan Komuniti Sri Aman akan terus komited membantu golongan yang memerlukan demi kesejahteraan bersama dan berharap usaha murni itu mendapat keberkatan daripada-Nya.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Replika Kubu Rentap di Bukit Sadok dijangka tarikan pelancongan baharu di Betong
Next: Bomba Lutong bantu mangsa cincin tersekat di Klinik Tudan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.