LIONG CHAI LING
MIRI : Hospital Miri mula menggunakan Makmal Molekular yang menggunakan kaedah Real Time Reverse Transcriptase Polymerase Chain Reaction (RTPCR) dalam pengesanan virus Covid-19.
Makmal Molekular tersebut siap dibina pada 8 April lalu dengan dilengkapi Polymerase Chain Reaction (PCR).
Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin berkata, pihak makmal tersebut melaksanakan proses validasi di bawah seliaan Makmal Institut Penyelidikan sebelum dibenarkan beroperasi.
Katanya, lima kakitangan yang terlatih ditempatkan di situ untuk mengendali makmal molekular tersebut.
“Dengan adanya kemudahan ini, pihak hospital dijangka mendapat keputusan ujian covid-19 dengan lebih pantas kerana tidak perlu menghantar sampel pesakit ke Kuching lagi.
“Keputusan ujian Covid-19 boleh diperolehi dalam tempoh 48 jam selepas sampel diambil dan sejak mula beroperasi tiga hari lalu, sebanyak 140 sampel swap telah berjaya disaringkan,” katanya.
Lee yang juga menteri bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (JPBBM) berkata demikian pada sidang media di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Miri di sini, semalam.
Menurut beliau, perkhidmatan PCR tersebut disediakan kepada penduduk Zon Utara Sarawak iaitu Bahagian Miri, Limbang dan Bintulu.
“Hanya mereka yang memenuhi kriteria Person Under Surveollance (PUS) atau Patient Under Investigation (PUI) semasa saringan.
“Walau bagaimanapun, pihak Hospital Miri sedang berusaha untuk meningkatkan keupayaan untuk memproses sehingga 134 sampel setiap hari dengan mengambil kira tenaga manusia dan stok reagen sedia ada,” katanya.
Dalam pada itu, Lee menzahirkan terima kasih kepada penderma makmal molekular dan kelengkapan PCR Hospital Miri iaitu Syarikat Kumpulan Samling, semua kontraktor yang terlibat, Makmal Institut Penyelidikan Malaysia dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak yang mengkordinasikan pendermaan tersebut.
Hadir sama pada sidang media, Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong dan Pengerusi JPBBM merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri, Abdul Aziz Mohd Yusuf.