
KUALA LUMPUR: Permohonan untuk mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi UP_TVET Perdana ambilan Julai 2026 akan dibuka mulai esok hingga 8 Mei ini.
Sekretariat Majlis TVET Negara (MTVET) dalam kenyataan hari ini memaklumkan lebih 15,000 tempat ditawarkan di 106 institusi TVET di bawah lima kementerian, iaitu Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Kenyataan itu memaklumkan proses pemilihan termasuk sesi temu duga bagi kursus tertentu akan berlangsung pada 4 hingga 8 Mei, diikuti keputusan permohonan pada 11 hingga 22 Mei.
“Calon yang berjaya perlu mengesahkan penerimaan tawaran antara 25 Mei hingga 7 Jun manakala tempoh rayuan dibuka dari 8 hingga 30 Jun,” menurut kenyataan itu.
Sekretariat itu memaklumkan peluang menyambung pengajian dalam TVET turut terbuka sepanjang tahun melalui UP_TVET Flexi, yang menawarkan kursus jangka panjang dan pendek secara lebih fleksibel, sesuai bagi individu yang ingin meningkatkan kemahiran atau meneroka bidang kerjaya baharu.
Menurut kenyataan itu, dalam konteks pendidikan dan kerjaya yang semakin dinamik, TVET menjadi pilihan strategik yang semakin mendapat pengiktirafan dan keyakinan masyarakat.
Sehingga kini, kadar kebolehpasaran graduan TVET telah mencapai 95.1 peratus, membuktikan keupayaan TVET dalam menyediakan laluan kerjaya yang stabil dan berdaya saing.
“Trend semasa menunjukkan peningkatan ketara apabila 53.56 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf memilih laluan TVET mencerminkan perubahan positif terhadap pendidikan berasaskan kemahiran di negara ini,” menurut kenyataan itu.
Untuk maklumat lanjut dan permohonan, layari https://mohon.tvet.gov.my. – Bernama