
PETRA JAYA: Beberapa kejadian pembakaran hutan yang dilaporkan di Sarawak ketika ini berada dalam keadaan terkawal dan tidak menyebabkan berlakunya jerebu.
Menurut Kontroler Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Datu Jack Liam, kawasan yang terlibat termasuk Kuala Tatau di Bintulu serta Kampung Penasu di Daro.
“Untuk makluman, kita ada beberapa kawasan yang terlibat dengan pembakaran hutan di Sarawak iaitu di Kuala Tatau, Bintulu dan Kampung Penasu, Daro.
“Di Sibu, keadaan kini sudah pulih sepenuhnya susulan hujan yang turun malam tadi.
“Bagi Kampung Penasu, pasukan bomba masih giat menjalankan operasi pemadaman namun keadaan keseluruhan adalah terkawal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Tamah Jabatan Hutan di Wisma Sabati, hari ini.
Tambah beliau, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) telah memulakan siasatan terhadap kes-kes tersebut dan tindakan akan diambil terhadap pihak yang didapati bersalah
“NREB telah memulakan siasatan untuk kes ini dan sekiranya didapati bersalah, tindakan akan diambil berdasarkan Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar 1958.
“Siasatan masih dijalankan dan kita akan menentukan peruntukan undang-undang yang bersesuaian untuk digunakan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata keadaan cuaca semasa sepatutnya masih berada dalam fasa peralihan antara musim hujan dan musim kering, yang lazimnya masih menerima taburan hujan di beberapa kawasan.
“Sepatutnya belum berlaku jerebu, namun kita melihat adanya kejadian pembakaran yang berlaku ketika ini. Bagaimanapun, setakat ini ia tidak menyebabkan jerebu,” tambahnya.
Ketika ditanya mengenai punca pembakaran, beliau tidak menolak kemungkinan ia melibatkan aktiviti pekebun kecil, namun menegaskan siasatan lanjut masih dijalankan.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan pihak berkuasa mempunyai beberapa peruntukan undang-undang untuk digunakan bergantung kepada kesalahan yang dikenal pasti.
Terdahulu, beberapa kejadian pembakaran hutan dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Sarawak namun berjaya dikawal dengan bantuan pasukan bomba serta faktor cuaca yang membantu memadamkan kebakaran. Oleh Masrin Affirah