KUCHING: Agensi Kumpulan Perkhidmatan Pengurusan Perancangan Kewangan (HERO) menganjurkan program derma darah bersama Hospital Umum Sarawak (HUS) di pusat beli-belah Cityone.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang berkata walaupun Kuching sedang menghadapi gelombang Covid-19 dan bertukar status menjadi zon merah, ini tidak menghalang orang ramai untuk turut serta menjalankan akiviti menderma darah.
“Jumlah penderma sangat memberangsangkan dan kita amat berterima kasih kepada semua penderma.
“Untuk memberi darah, anda tidak memerlukan kekuatan tambahan dan makanan tambahan dan anda akan menyelamatkan nyawa,” jelasnya.
Beliau yang sudah menjadi penderma selama 25 tahun menjelaskan ia merupakan perkara yang mulia dan bermanfaat kerana akan melahirkan rasa syukur seseorang atas banyak perkara dalam hidup.
“Anda mempunyai sumber daya yang paling berharga, kemampuan menyelamatkan nyawa dengan menderma darah.
“Kita ingin mendorong lebih banyak anak muda dan organisasi belia untuk mengadakan acara seperti ini serta berharap agar syarikat korporat yang melakukan tanggungjawab sosial korporat untuk terus menganjurkan acara memberi manfaat kepada masyarakat.
“Kita harus menderma darah ketika kita mampu, ini memberi seseorang peluang lain dalam hidup dan seseorang itu mungkin saudara terdekat, rakan, orang tersayang atau anda dan saya sendiri,” katanya.
Tambah beliau, penyelidikan menunjukkan bahawa Covid-19 tidak merebak melalui pendermaan darah dan pemindahan darah. Oleh yang demikian, jangan takut menderma darah terutamanya di bawah prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Beliau juga turut mengingatkan untuk sentiasa memakai pelitup muka, kerap basuh tangan dan tinggal di rumah jika boleh.
Oleh Asyraf Halim