
BELADIN: Lima sekeluarga berdepan detik cemas apabila kediaman mereka di Kampung Baru Semarang musnah sepenuhnya dalam satu insiden kebakaran yang berlaku tengah hari tadi.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada 12:55 tengah hari.
Sejurus menerima laporan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
Jarak lokasi yang agak jauh, iaitu sekitar 76 kilometer dari balai, menyebabkan pasukan bomba mengambil masa lebih satu jam dan hanya tiba di tempat kejadian pada 2:00 petang.
Bagaimanapun, tindakan pantas penduduk setempat telah membantu mengekang api daripada merebak dengan lebih luas.
Laporan awal menyatakan bahawa kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berukuran 20×60 kaki persegi telah hangus 100 peratus.
Selain itu, sebuah lagi rumah berhampiran turut terjejas sekitar 30 peratus akibat bahang dan jilatan api.


Lima penghuni rumah berkenaan, yang terdiri daripada sepasang suami isteri bersama dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan, dilaporkan terselamat.
Kesemua mangsa berjaya melarikan diri tepat pada masanya tanpa mengalami sebarang kecederaan fizikal.
Komander Operasi, Abdul Rahman Sabi memaklumkan bahawa kebakaran tersebut berjaya dikawal awal oleh Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) Beladin.
Dengan bantuan penduduk kampung, mereka menggunakan sumber air paip untuk memadamkan api sebelum ketibaan pasukan BBP Saratok.
Setibanya di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak membentang satu aliran sepanjang 600 kaki dengan dua nozel.
Kerja-kerja ‘overhaul’ dilakukan bagi memastikan tiada lagi punca api yang tersembunyi dengan menggunakan pam serta sumber air terbuka dari sungai yang berdekatan.
Operasi pemadaman tersebut melibatkan kekuatan tujuh anggota BBP Saratok bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan ambulans unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Operasi turut mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi lain termasuk PBS Debak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), dan pihak Sesco.
Setelah memastikan keadaan benar-benar selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 3:10 petang.
Sehingga kini, punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa masih lagi dalam proses siasatan pihak berkuasa.
Oleh Adi Safarman